Monday, July 10, 2006

Tekad News :: Projek TEKAD Selangor - Kem Tekali...


HULU LANGAT 29 Jan. 2005 – Malaysia memerlukan para pelajar yang mempunyai sikap kendiri dan nilai jati diri selain mampu menguasai ilmu sains dan teknologi bagi menghadapi masa depan yang lebih mencabar dan berdaya saing.

Nilai-nilai positif seperti kebolehan beinteraksi dan berkomunikasi, berfikiran positif, bersemangat sepasukan dan bekerjasama akan membolehkan mereka turut bersaing di peringkat antarabangsa.

Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, sikap dan nilai tersebut hanya boleh dipupuk menerusi latihan dan pendedahan berterusan terutama menerusi aktiviti-aktiviti luar bilik darjah.

“Langkah ini seiring dengan hasrat Perdana Menteri yang mahu pendidikan bersepadu di peringkat awal diberi tumpuan dalam memastikan para pelajar mempunyai persediaan asas yang kukuh untuk menjalani kehidupan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Projek TEKAD peringkat negeri Selangor di Pusat Kokurikulum Jabatan Pelajaran Negeri, Kem Tekali, di sini hari ini. Teks ucapannya dibacakan oleh Setiausaha Parlimen kementeriannya, P. Komala Devi.

Sebanyak 176 pelajar tingkatan lima dari 10 sekolah di seluruh Selangor menyertai projek tiga hari itu yang ditaja oleh RHB Capital Berhad.

Projek ini dikendalikan oleh tenaga professional muda secara sukarela yang bertindak sebagai abang atau kakak dan tokoh teladan para pelajar, bertujuan merangsang mereka menerusi perkongsian pengalaman hidup.

Menurut Hishammuddin, pendidikan adalah asas paling utama dalam pembentukan sesebuah negara dan kemajuannya banyak diukur oleh kemampuan system pendidikan yang menyediakan sumber tenaga yang mencukupi dan relevan.

“Tugas ini bagaimanapun tidak seharusnya dipikul oleh kementerian sahaja sebaliknya semua pihak termasuk NGO (pertubuhan bukan kerajaan) dan swasta, diseru untuk membantu melahirkan generasi berilmu, berkemahiran dan berketerampilan,” katanya.

Sehubungan itu katanya, kementerian amat mengalu-alukan sumbangan seperti sukarelawan profesional muda dalam Projek TEKAD yang sanggup turun padang menyumbang masa dan tenaga mencapai wawasan kementerian dan kerajaan.

Labels:

TekadMon at 1:34 am

0comments

0 Comments

Post a Comment

Home